Monday 8 August 2016

Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB)


Yayasan Sultanah Bahiyah ialah sebuah organisasi amal yang dinamakan bersempena dengan nama pengasas dan penaung Di Raja yang pertama iaitu Almarhumah Tuanku Sultanah Hajjah Bahiyah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. YSB diperbadankan pada 20 Ogos 1996. Ianya ditadbir oleh sebuah Lembaga Amanah dan kini diterajui oleh YTM Tunku Panglima Besar Kedah Dato' Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai pengerusi. Penaung Di Rajanya ialah SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XIV ALMU’TASIMU BILLAHI MUHIBBUDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH IBNI AL-MARHUM SULTAN BADLISHAH. YSB mempunyai dua peranan utama iaitu sebagai agen perubahan di dalam kerja-kerja kemasyarakatan melalui pendidikan, pembangunan komuniti, kesihatan, remaja dan belia serta inisiatif latihan

Keduanya adalah bekerjasama dengan badan bukan kerajaan lain dan juga badan-badan korporat di dalam projek-projek kebajikan. YSB juga menyediakan geran kewangan kepada badan-badan kebajikan di negeri Kedah bagi membantu mereka menjalankan aktiviti mereka. Kesemua program-program ini dijayakan dengan hasil usaha pengumpulan dana sendiri dan juga melalui sumbangan yang diterima daripada pihak awam. Program dan aktiviti YSB merangkumi aspek yang luas dan melibatkan kesemua peringkat umur. Satu keistimewaan yang dinikmati oleh YSB ialah status pengecualian cukai bagi semua kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan.



Pengenalan Projek Titian Bistari

Pembelajaran merupakan satu aset yang membolehkan satu golongan mengubah nasib mereka ke arah yang lebih baik. Menginsafi hakikat tersebut, dari tahun 1999 Yayasan Sultanah Bahiyah telah merangka dan melaksanakan satu projek yang dinamakan Projek Titian Bistari (Bridge to Excellence Project) untuk membantu dan meningkatkan tahap keupayaan murid-murid miskin yang berpotensi di kawasan pedalaman di dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris, dan Sains.

Penyelidikan mendapati sekolah-sekolah dari kawasan luar bandar tidak mencapai peratus yang memuaskan di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kelemahan itu adalah berpunca daripada kelemahan di dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Objektif

Membantu murid-murid miskin di kawasan pedalaman di Kedah untuk mendapatkan pelajaran tambahan.
Sebagai persiapan kepada murid-murid tersebut menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Mempertingkatkan peratusan kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di dalam UPSR.
Bertujuan mengimarahkan masjid-masjid dengan mengadakan kelas-kelas tuisyen di kawasan masjid yang telah dipilih.

Pendekatan

Projek Titian Bistari ini telah dilancarkan pada 20 Mac 1999 dan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sultanah Bahiyah dengan kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri.

Fasa Pertama Projek ini bermula pada bulan April 1999 yang melibatkan 400 orang murid-murid Tahun 4 daripada 10 kawasan pedalaman di Negeri Kedah Darul Aman. Murid-murid ini dibimbing bermula dari Tahun 4 hingga Tahun 6 untuk menghadapi UPSR oleh guru-guru yang terpilih.

Fasa kedua (tahun 2000) melibatkan 800 orang murid dan Fasa Ketiga (tahun 2001) melibatkan 1,200 orang murid. Sehingga kini terdapat 24 buah pusat di negeri Kedah. Disamping mengadakan kelas-kelas tuisyen, YSB juga mengatur pelbagai aktiviti untuk dimanfaatkan oleh murid yang terlibat seperti kem-kem motivasi, lawatan sambil belajar, pembelajaran melalui komputer & perisian, buku-buku latihan serta lain-lain aktiviti yang bersesuaian mengikut keperluan semasa.

Melalui projek ini, YSB membantu dari segi bayaran saguhati kepada guru-guru, membekal peralatan pembelajaran serta menguruskan hal-hal lain bersangkut dengan penyelesaian dan pelaksanaan projek ini.

Terima Kasih YSB

0 comments:



About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP